Program
Perniagaan Francais McDonalds
McDonalds – I’m Lovin’ It.
McDonalds, tentunya satu nama yang tidak
asing lagi di hati kita. Bertepatan dengan slogan yang dibawa, McDonalds
merupakan satu jenama peruncit perkhidmatan makanan segera yang terkemuka,
tentunya digemari dan disukai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira
bangsa dan peringkat umur. Ia merupakan satu produk makanan segera yang
menyediakan hidangan burger daging dan ayam, kentang goreng, ayam goreng,
minuman ringan, makanan sarapan pagi, susu kocak, aiskrim dan pelbagai lagi
hidangan lazat dan berkhasiat dengan harga yang amat berpatutan.Sejarah
penubuhan McDonalds bermula pada tahun 1940, dengan pembukaan sebuah restoran
oleh adik-beradik Dick dan Mac McDonald. Walau bagaimanapun, tarikh penubuhan
McDonalds hanya diisytiharkan pada tahun 1955, sempena tarikh pembukaan
restoran francaisnya yang pertama oleh Ketua Pegawai Eksekutif McDonalds pada
ketika itu, Ray Kroc. Restoran francais Ray Kroc ini merupakan restoran
McDonalds yang ke-sembilan yang telah dibuka pada ketika itu.
Statistik Perbadanan McDonalds Amerika
Syarikat pada hari ini menunjukkan pemilikan lebih 33,000 restoran McDonalds
merentasi 119 negara. Daripada jumlah restoran ini, lebih daripada 75 peratus
restoran McDonalds di seluruh dunia, dimiliki dan dikendalikan oleh usahawan
tempatan negara itu melalui program francais yang ditawarkan oleh pihak
McDonalds sendiri. Umum juga mengetahui bahawa McDonalds bergantung sepenuhnya
kepada program francaisnya sebagai teras utama kejayaan syarikat itu.
Di Malaysia, McDonalds secara
progresifnya sedang merangka pelan untuk mengembangkan aspek francais
perniagaan mereka di sini. Menyusuri sejarah bermulanya nama McDonalds di
Malaysia, ia membina namanya di Malaysia buat pertama kalinya pada bulan
Disember 1980, apabila Perbadanan McDonalds Amerika Syarikat menganugerahkan
Golden Arches Restaurants Sdn Bhd, lesen untuk mengendalikan rangkaian restoran
McDonalds di Malaysia. Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai
lokasi yang paling strategik, dan seterusnya pada 29 April 1982, restoran
McDonalds yang pertama di Malaysia telah dibuka. Dengan pembukaan restoran ini,
McDonalds Malaysia telah dinobatkan sebagai restoran pertama beroperasi di
negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Kini, McDonalds Malaysia telah mempunyai
sebanyak 204 rangkaian restoran di seluruh negara dan membuat projeksi
pertumbuhan restoran baru dengan kadar antara 15-20 buah restoran pada setiap
tahun. Dengan pembukaan restoran baru ini, sudah tentu peluang pekerjaan untuk
warga tempatan juga bertambah. Anggaran sebanyak 1500 peluang pekerjaan baru
akan diwujudkan menerusi pembukaan restoran baru ini, penambahan kakitangan
serta pemodelan semula restoran-restoran yang sedia ada.
Menjelang tahun 2014, McDonalds Malaysia
merancang untuk memiliki 300 restoran, dan membuat projeksi akan melayan lebih
12 juta pelanggan pada setiap bulan! McDonalds Malaysia juga kini menguasai 42
peratus pasaran Restoran Perkhidmatan Segera (QSR) di Malaysia, berbanding
restoran perkhidmatan makanan segera yang lain seperti Kentucky Fried Chicken
(KFC), Burger King, A&W, Pizza Hut, Dominos Pizza dan lain-lain lagi.
Daripada projeksi jumlah 300 restoran ini, McDonalds Malaysia merancang untuk
mempunyai sehingga 30 peratus restoran francais menjelang tahun 2014.
Bagi mereka yang tertanya-tanya
bagaimana untuk berpeluang menjadi salah seorang penerima francais McDonalds,
terdapat dua pilihan bentuk francais McDonalds yang ditawarkan. Penerima
francais mempunyai peluang untuk memilih sama ada francais berbentuk restoran
yang baru (start from scratch) atau membeli sebuah restoran McDonalds
yang sedia ada. Pilihan ini walau bagaimanapun adalah bergantung kepada peluang
francais yang ada ketika penerima francais tamat sesi latihan mereka. Sudah
tentu kos yang diperlukan juga adalah berbeza antara keduanya. Tempoh jangkaan
francais pula adalah selama 10 tahun atau mengikut tempoh pajakan premis.
Bagi penerima francais yang berpeluang
untuk membuka restoran baru, kos untuk memulakan perniagaan adalah antara RM2.0
juta sehingga RM4.5 juta, bergantung kepada saiz restoran, jenis restoran
(pandu lalu, pusat membeli belah, perjanjian dengan syarikat minyak atau
deretan kedai), lokasi, gaya hiasan dan landskap. McDonalds tidak menyediakan
sebarang bantuan pinjaman, oleh itu pinjaman haruslah dibuat dengan firma
kewangan dan perbankan di Malaysia. Tidak kurang daripada 30% daripada kos
permulaan adalah dari sumber peribadi, manakala selebihnya, iaitu maksima 70
peratus baki jumlah kos boleh lah dipinjam daripada mana-mana firma kewangan.
Pecahan kos untuk francais restoran baru
adalah seperti yang tertera dibawah, walau bagaimanapun ia hanyalah anggaran
kos dan mungkin berbeza daripada kos yang sebenar.
Bagi pilihan francais yang kedua iaitu
dengan mengambil alih restoran McDonalds yang sedia ada, harga yang ditawarkan
kepada penerima fraincais McDonalds biasanya adalah berdasarkan nilai pasaran
restoran. Yuran francais dan deposit keselamatan seperti yang dinyatakan di
atas juga perlu dibayar oleh penerima francais.
Selain itu, penerima francais juga harus
mengambil kira kos berterusan yang dibayar secara bulanan, seperti bayaran
royalti yang kini berada pada paras 5% berdasarkan peratusan daripada jualan
kasar restoran. Lain-lain kos bulanan seperti pembayaran sewa yang bergantung
kepada jenis kedai, lokasi dan prestasi. Sewa yang dikenakan juga mungkin
berbeza-beza antara 13% hingga 20%. Para penerima francais juga dikehendaki
memberi sumbangan bulanan ke atas pemasaran, yang kini berada pada paras 5%
daripada jualan kasar restoran.
Seperti biasa, kos-kos yang dinyatakan
ini hanyalah anggaran dan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang
mungkin dilakukan oleh pihak McDonalds sendiri.
KELEBIHAN PENERIMA FRANCAIS
Sebagai salah seorang penerima francais
McDonalds, secara tidak langsung anda berpeluang untuk menyumbang kepada
kejayaan McDonalds. Bernaung di bawah jenama produk makanan segera yang
terkenal dan tidak asing lagi, penerima francais juga mempunyai kelebihan dari
segi pengiklanan dan juga pemasaran, ini kerana McDonalds mempunyai pasaran
perniagaan yang luas di seluruh dunia dan jenamanya telah dikenali lebih
daripada 70 tahun. Ini juga bermaksud, pihak penerima francais tidak akan
berhadapan dengan sebarang sekatan perniagaan daripada kerajaan tempatan untuk
memulakan perniagaan.
McDonalds juga memberi sokongan penuh
dalam memastikan penerima francaisnya berjaya dalam perniagaan, termasuk
sokongan dalam operasi restoran, latihan yang intensif sebelum memulakan
perniagaan dan pembelian peralatan untuk restoran dan bekalan bahan mentah.
Keseragaman juga dikekalkan pada konsep setiap restoran. Malahan konsep makanan
juga mudah diterima oleh penduduk Malaysia sama ada di bandar atau luar bandar.
Disamping itu harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan adalah rendah dan
mampu dibeli oleh setiap lapisan masyarakat.
PROSES PERMOHONAN
Jika anda antara mereka yang mempunyai
ciri-ciri dan kriteria yang diingini, dan ingin mencuba menjadi salah seorang
daripada penerima francais, maka anda boleh membuat permohonan dengan mengisi
borang permohonan seperti yang terdapat di dalam laman web McDonalds Malaysia.
Satu temuduga akan diadakan untuk pemohon yang layak berdasarkan borang
permohonan yang dihantar, dengan menfokus kepada latar belakang pemohon,
matlamat dan visi pemohon, status kewangan dan kepentingan dalam McDonalds.
Sekiranya temuduga ini berjaya, maka McDonalds Malaysia akan mengadakan
Penilaian Kerja (On The Job Evaluation – OJE). Proses Penilaian Kerja
ini memerlukan pemohon bekerja secara fizikal di McDonalds dan dipantau oleh
wakil dari McDonalds Malaysia. Kebiasaannya proses ini akan mengambil masa
antara 3 hingga 5 hari. Objektif proses Penilaian Kerja ini adalah untuk
membantu pemohon francais mendapat gambaran sebenar situasi kerja di McDonalds
dan melihat sama ada ia bersesuaian dengan pemohon francais ataupun tidak.
Jika semuanya berjalan lancar, McDonalds
akan menawarkan sesi latihan formal sepenuh masa yang komprehensif untuk jangka
masa lebih kurang setahun atau mungkin lebih kepada pemohon yang berjaya. Program
ini akan memberi persediaan kepada pemohon dengan mengajar mereka segala aspek
operasi restoran McDonalds. Di samping itu, sesi latihan ini juga dilihat dapat
memberi peluang kepada pihak McDonalds untuk menilai potensi penerima francais
mereka.
KESIMPULAN
Sektor francais tempatan adalah antara
segmen perniagaan yang semakin mendapat perhatian ketika ini apabila ia
menyumbang 2.5 peratus atau RM21.48 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) tahun lalu. Peratusan ini telah dibentangkan sendiri oleh Persatuan
Francais Malaysia (MFA) dalam Persidangan Francais Antarabangsa kali ke-12 (FIM
2012) baru-baru ini.
Berdasarkan prestasi McDonalds di
Malaysia serta statistik yang dipamerkan, tentunya ia menjadi perangsang kepada
warga Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi penerima francais McDonalds dan
mengendalikan perkhidmatan restoran makanan segera dengan jenama yang diiktiraf
dan dikenali di dunia ini. Penerima francais juga perlu melihat aspek positif
kesan daripada pembukaan restoran-restoran baru, iaitu akan ada lebih banyak
peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan seterusnya mengukuhkan kekuatan
usahawan di Malaysia.
Jadi, apa yang perlu anda tunggu lagi?
Jika anda mempunyai misi dan visi yang tinggi, integriti diri yang tinggi,
semangat keusahawanan dan keinginan yang kuat untuk berjaya, ingin merasai
pengalaman bekerja di bawah naungan jenama yang terkenal dan diiktiraf,
mempunyai modal yang mencukupi dan berkeupayaan untuk menguruskan kewangan,
memiliki lokasi yang strategik, dapat memotivasi dan melatih mereka yang
terlibat bersama anda dan yakin dengan strategi perniagaan anda, pastinya
francais McDonalds mampu memberikan anda keuntungan yang lumayan. Ayuh!
Silakan. Sahut lah cabaran ini!


